Sunday, December 27, 2009

::..Muhasabah Sejenak...::


Ilahana ampunkanlah segala dosa kami
Wahai Tuhan kami maafkanlah kejahilan hamba-hambaMu

Kami sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Kami sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar kami milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kami ingat petang kami alpa
Begitulah silih berganti

Ya Allah Kau pimpinlah diri kami
Yang mendamba cintaMu
Kami lemah kami jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Kami sering berjanji depanMu
Sering jua kami memungkiri
Kami pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah kami kepadaMu
Seribu langkah Kau pada kami

Ya Robb diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula kami sanggup ke neraka Mu
Kami takut kepadaMu
Kami harap jua padaMu
Moga kami kan selamat dunia akhirat
Seperti Rasul dan Sohabat


::...Tatkala mata masih terbuka..............

Setiap kali bangun dari tidur dan membuka mata, yang terucap adalah kalimat syukur bahawa Allah masih mengizinkan diri ini kembali melihat fajar. Merasai hembusan angin bayu pagi yang menerobos celah jendela dan menjumpai semua yang semalam terlihat sebelum mata terpejam masih seperti sedia kala, tidak ada yang berubah.

Kemudian melangkahlah dengan iringan doa di gerbang mungil menuju arena perjuangan kehidupan, dengan tuntutanNya lah diri ini tidak melangkah ke jalan yang salah, tidak menjamah yang bukan hak, tidak melihat perkara yang dilarang, tidak memamah yang tidak halal,tidak mendengar yang batil, dan tidak banyak melakukan perkara sia-sia. Kerana setiap waktu yang terlewat pasti akan ditagih tanggungjawabnya di akhirat kelak. Lantaran semua jalan yang dilalui akan diminta kesaksiannya atas diri ini dan sebab seluruh indera ini akan diminta bicara tentang apa-apa yang pernah kita lakukan.

Hari ini masih ada perkara lalai terbuat. Masih juga lengah sehingga khilaf tercipta. Segunung peringatan pernah didengar, mulut ini masih terselit berucap dusta, saringan telinga ini tetap tidak mampu membendung suara-suara melena lalaikan dan masih saja ada perbuatan yang salah, walaupun itu dalam bingkai alpa. Padahal semua itu di setiap terminal ruhiyah. Sedikitnya lima kali sehari lidah ini berucap, tangan ini termenadah minta doa dan mata ini menitikkan butir bening, seraya memohon perlindungan dari Allah dijauhkan dari salah dan dosa. Tetapi, masih juga langkah ini menuju arah yang batil dalam keadaan sedar ataupun tidak. Jahilnya kami Ya Ilahi.

Setiap hari menangis, setiap hari meminta keampunan, setiap hari mencipta dosa, esok sibuk bersujud, meluluhkan air mata, menyusun kalimah doa, mengayam pinta semoga Allah menghapuskan segala dosa yang telah kita cipta, bahkan kadang-kadang lupa. Padahal, hanya sedetik sahaja kemudian diri ini tidak lagi sempat memohon ampunan. Lupakah bahawa waktu sangat cepat berlalu. Lupakah pula bahawa menyesal di akhirat hanyalah kesiaan yang nyata?

Bagaimana jika hari esok tidak akan datang, padahal baru saja seharian ini berenang di lautan dosa, padahal belum sempat menghapus noda hari ini, kelmarin, seminggu yang lalu, setahun lalu dan bertahun-tahun yang lalu. Bagaimana jika Allah tidak berkenan membukakan mata diri ini lagi setelah sepanjang malam terlelap? Bagaimana jika perjumpaan dan canda riang bersama keluarga semalam adalah yang terakhir kalinya, ketika esok harinya ruh ini melihat seluruh keluarga menangisi jasad ini yang terbujur kaku berkafan putih.

Bagaimana jika matahari esok terbit dari barat, tidak seperti biasanya dari timur? Padahal hari ini lupa menyebut nama-Nya. Padahal di hari ini, belum sempat mengunjungi satu persatu keluarga, kerabat, sahabat, tetangga dan orang-orang yang pernah tersakiti oleh lidah dan tindakan kita. Sudah terlalu lama tidak mencium kaki orang tua mencari keredhaannya, walau tidak terhitung salah diri. Belum lagi sempat menderma, setelah derma kecil beberapa tahun lalu yang sering kita banggakan. Allaahummaghfirlana Ya Robb.

Dan jika memang esok tidak pernah datang. Sungguh celakalah diri ini. Benar-benar celaka, apabila belum sempat mencuci dosa sepanjang hidup, apabila belum mendengar ungkapan maaf dari orang-orang yang pernah terzalimi, apabila belum menyisihkan harta yang menjadi hak orang lain, apabila belum sempat meminta ampun atas segala salah dan khilaf kita yang tercipta.

Maka di saat pagi Allah masih memperkenalkan diri menikmati fajarMu Ya Ilahi, mulalah setiap pagi hari dengan kalimat

"Alhamdulillah"

"Alhamdulillah"

"Alhamdulillah"

Semoga kita semua beroleh keampunan dari ilahi atas segala kesilapan dan kejahilan kita sepanjang hidup bernama manusia. Amin Ya Arhamarraahimin.

.......................IRHAMNA YA ROBB.........................

Monday, December 21, 2009

::...Nilai Seorang Hamba...::




Sedar atau tidak, pasti terkadang jiwa insani itu dihimpit naluri untuk bermegah-megah dengan setiap kelebihan yang dimiliki. Tatkala iman mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan yang keji. Waktu itu, insani juga akan terlupa bahawa tiap-tiap satu nikmat yang dikecapinya itu hadir hanya dengan izin Allah s.w.t.

Lihatlah, betapa liciknya sang iblis! Sehinggakan, terkadang itu, di dalam jalan dakwah yang mulia ini, mampu terbitnya fitnah yang merugikan. Walhal, amal palsu menampakkan cerminan bahawa kita seolah-olah berada di atas jalan yang benar. Alangkah ruginya jika selama ini segala amal ibadah kita tidak diterima Khaliq! Maha Suci Allah yang tiap-tiap jiwa berada dalam genggamanNya! Kami mohon berlindung daripada melakukan amal yang sia-sia ya Ilahi!


Amal yang sia-sia adalah amal yang didasari rasa 'ujub, riak dan takabbur. Apabila landasan keikhlasan sudah mulai mundur, diri lantas mendabik dada! Amal ibadah yang sepatutnya dilaksanakan berteraskan ketaatan kepada Ar-Rahman, mula mengintai pengiktirafan manusia lain. Harapan kepada pujian ramai mula berbunga-bunga. Saat ada pula yang lebih berjaya, hasad dengki mula mengambil tempatnya! Saat ada yang tersungkur, dia bersyukur! Betapa manusia ini hamba yang hina dina. Waras akalnya tidak bersatu dengan kata hati, lalu pantas sahaja mendabik dada tanpa sedikit pun rasa malu.

Betapa dia hampir sahaja terlupa bahawa setiap denyut nadinya itu berada di bawah pengawalan Tuhan Yang Satu. Pernahkah kita berfikir, sebaik sahaja usai solat fardhu yang kita lakukan, adakah solatku diterima Allah? Masih wujudkah lagi pandangan kasih Allah kepadaku? Jika ya, teruskanlah istiqamah dengan pertanyaan-pertanyaan sebegini. " Seburuk-buruk pencuri ialah orang yang mencuri di dalam solatnya. Para sahabat bertanya, siapakah orang itu? Maka Rasulullah s.a.w menjawab, orang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya" -H.R Ahmad.


Solat adalah asas dan merupakan tiang kepada agama seseorang muslim. Malah, amalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak juga merupakan solat fardhu seseorang hamba itu. Jika baik solatnya, maka baiklah seluruh amalannya dan begitulah sebaliknya.

Justeru, marilah kita kembali menilai khabar iman dan amal kita. Adakah solat kita mampu mengawal diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar seperti apa yang terkandung dalam kalamullah itu? Ikhlaskah kita dalam menunaikan solat, atau hanya atas dasar tidak tahan mendengar leteran ibu ayah? Atau hanya atas alasan amalan ikut-ikutan sahaja? Tanpa sekelumit pun rasa untuk berusaha mengkaji hikmah sebenar solat terhadap diri manusia? Barangkali juga ada di antara kita yang bersolat hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk. Maha Suci Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penerima taubat, ampunkanlah dosa kami dan terimalah taubat kami.

Kasih sayang Allah s.w.t meliputi seluruh kerajaan lagit dan bumiNya. Kerana itulah setiap makhluk yang bernyawa mendapat bahagian rezeki mereka masing-masing. Betapa hebatnya rencana Al-Manan dan betapa hinanya nilai seorang hamba! Masakan dengan sedikit tempias nikmat Allah itu dia boleh merasakan diri cukup sempurna? Mengaku diri dengan kemuliaan, mengangkat diri dengan ilmu pengetahuan yang masih cetek pada hakikatnya, memanjangkan mata pada keindahan dunia, dan menghambakan diri kepada nafsu yang menggila, semua ini sifat tercela yang harus dibuang jauh-jauh dengan hanya satu cara iaitu nurani hati dengan hiasan sifat tawaddhu' dan semaikanlah rasa jiwa kehambaan kerana sesungguhnya manusia itu tiada daya dalam melawan kekuasaan Allah s.w.t.

Ibnu Umar pernah meriwayatkan sebuah hadis, sabda Rasulullah s.a.w yang mulia; " Sesungguhnya, hati ini boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air. Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya? " Rasulullah menjawab, "Perbanyakkanlah mengingati mati dan membaca Al-Quran"-(H.R Baihaqy)


Pertolongan yang tidak disangka-sangka tanpa kita ketahui, sebenarnya pertolongan Allah itu sering sahaja berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Bagi yang sentiasa meletakkan diri dalam keindahan tawakkal kepadaNya, saat pertolongan dan bantuan Allah itu lahir, jiwanya sentiasa dirundung rasa keinsafan. Lidahnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur sehinggakan air matanya turut sama menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kerana masih mendapat pandangan kasih Ar-Rahman. Lantas, amalnya diperhebat kerana dalam diri tersemat indah rasa kehambaan. Keimanannya bahawa dengan mengingati Allah dikala senang, pasti mendapat perhatian Allah di kala susah semakin menebal.

Alangkah indahnya saat jiwa berada dalam dakapan iman! Bagi jiwa yang sakit, pasti pertolongan yang hadir itu dirasakan dengan berkat usahanya sendiri dengan menafikan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu hanya terjadi dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Inilah realiti kehidupan yang terjadi pada umat baginda rasul, Muhammad s.a.w yang diuji dengan pangkat dan harta kekayaan.

Begitu juga dengan konteks pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Masih wujud sebilangan besar pelajar yang terlupa untuk mensyukuri nikmat kejayaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Mengapa hal ini terjadi, berbalik kepada jawapan yang sama. Kerana lunturnya rasa dan jiwa kehambaan.

Justeru, bagi orang-orang yang beriman, jangan pernah dirisaukan dengan perihal balasan Allah s.w.t kepada mereka. Sesungguhnya kurnia Allah sangat luas. Masakan Allah tidak mengetahui penat lelah hamba-hambaNa yang soleh? Sehinggakan dunia dan seluruh isinya tidak layak diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang menanti pasti singgahsana nan indah di syurga kelak.


Jangan pernah membiarkan penyakit 'ujub, riak dan takabbur merebak di hati. Juga jangan pernah menyesal andai segala apa yang kita kecapi tidak kita perolehi. Tiada satu makhluk pun yang akan menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Pasti bagi mereka yang terlibat di dalam jalan dakwah ini, persoalan mengenai himpitan-himpitan masalah menebal di benak fikiran. Barangkali pernah juga terlintas " Benarkah apa yang aku lakukan ini? Jika Allah meredhai apa yang aku lakukan, masakan aku diuji sebegini rupa?"

Ingatlah, berjuang memang pahit! Kerana syurga itu manis. Masakan perjalanan perjuangan dihampar permaidani merah? Bersyukurlah bagi mereka yang diuji dengan kesusahan sedangkan ujian berupa kesenangan itu sememangnya lebih payah. Semaikanlah jiwa hamba dan hindarkanlah diri dari mendabik dada dengan kemuliaan dan harta benda.

Sucikanlah hati dengan memperbanyak amalan zikir dan bacaan Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada kita; di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi ibnu Abbas; " Seseorang yang tidak ada sedikitpun Al-Quran di dalam hatinya adalah seperti rumah yang kosong," (H.R Tarmizi) Nauzubillahi minzaalik.

Bagi mereka yang sedang merawat hati, jangan pernah khuatir dengan persoalan seperti " Mengapa semakin aku cuba merawat hati, semakin aku menemui kebuntuan, semakin aku menyedari kekotoran yang berlumut-lumut?" Inilah tanda bahawa hati itu sedang dirawat. Demikian jugalah yang berlaku kepada tubuh badan kita saat para doktor menjalankan diagnosis. Jasad yang dirasakan sihat rupa-rupanya menghidap pelbagai penyakit-penyakit merbahaya.

Oleh itu, nilailah kembali betapa kita ini sebenarnya mampu mengecapi nikmat kehidupan hanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Beristighfarlah dengan ibu segala istighfar andai pernah terdetik di dalam hati rasa 'ujub,riak dan takabbur. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita..Ya Allah kasihanilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia imam, cahaya dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami ketika kami lupa serta bimbinglah kami ketika kami tidak mengetahui serta jadikanlah Al-Quran itu hujjah bagi kami di Akhirat kelak..Amin.


.................RAHMATILAH KAMI YA ILAHI.......................

Thursday, December 17, 2009

::...Antara Mata Dan Hati...::



Bila melihat malam yang indah ini
Tidak terasa kebesaran Allah
Bila mendapat musibah lupa dirinya hamba
Nikmat yang datang tiada rasa darinya

Sepatutnya rasa malu kepadaNya
Kerana anugerah kepada kita
Membuat dosa rasa kekesalannya

Buta Hati lebih merbahaya
Buta Mata tidak nampak dunia
Buta Hati tidak nampak kebenaran
Buta Hati di tipu nafsu dan syaitan

Bahkan dilupakan saja
Semua orang rasa bangga dengan dosa

Bila menyebut neraka
Tidak terasa akan gerunnya
Bila menyebut syurga
Tidak terasa akan nikmatnya

Itu menunjukkan
Jiwa kita mati atau buta

Lihat dengan mata hatimu jari jemari yang sepuluh di tanganmu itu. Ia jari jemari biasa yang luar biasa. Panjang pendeknya menyerlahkan kesempurnaan penciptaan Dia. Lihat tubuh badanmu, jantungmu, matamu, kulitmu…semua yang biasa-biasa itu sebenarnya bukan biasa malah luar biasa. Mengapa harus dinanti sesuatu yang di luar kebiasaan untuk menyedari kehebatan Dia? Dangkal sungguh keupayaan kita mengimani Dia. Renung langit…lihat bulan dan bintang, perhatikan pertukaran malam dan siang…segala kejadian biasa itu bukan biasa-biasa.

Kita lupa kepada hakikat segala yang ada di sekitar ini, sedang dan sentiasa berhubung dengan Allah, melihatnya mendatangkan tenang, mendengar suaranya mendatangkan harmoni di dalam jiwa. Semuanya zikrullah..Buta mata hilang warna…buta hati hilang makna dan erti. Buta mata tak nampak jalan di dunia, buta hati tak nampak jalan menuju ke Syurga Ilahi.

.....................JAGA HATI...PELIHARA MATA.................

Saturday, December 12, 2009

::...Banyakkan Menangis Kurangkan Ketawa...::


"Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis" (Bukhari dan Muslim)

Indahnya hidup dengan celupan iman. Saat itulah terasa bahawa dunia bukan segala-galanya. Ada yang jauh lebih besar dari yang ada di depan mata. Semuanya teramat kecil dibanding dengan balasan dan siksa Allah swt di akhirat kelak.

Menyadari bahawa dosa diri tidak akan terpikul di pundak orang lain. Siapa pun kita, jangan pernah berfikir bahawa dosa-dosa yang telah dilakukan akan terpikul di pundak orang lain. Siapa pun kita. Pemimpinkah, tokoh yang punya banyak pengikutkah, orang kayakah. Semua kebaikan dan keburukan akan kembali ke pelakunya.

Pernahkah kita menghitung dosa yang telah kita lakukan?? Seberapa banyak dan besar dosa-dosa itu. Jangan-jangan, hitungannya tidak ada beza dengan jumlah nikmat Allah yang kita terima. Atau bahkan, jauh lebih banyak dari itu. Masihkah kita merasa aman dengan mutu diri seperti itu. Belum sedarkah kita tidak ada seorang pun yang mampu menjamin bahawa esok kita belum berpisah dengan dunia?? Belum sedarkah kita di akhirat kelak masing-masing sibuk mempertanggungjawabkan apa yang telah kita lakukan??

....Sedarilah..bahawa diri kita teramat hina di hadapan Yang Maha Agung. Nikmat yang Allah beri, kita abaikan..nikmat pancaindra, kadang-kadang dalam keadaan sedar atau tidak, kita tidak menggunakan dengan sebaiknya, dan banyak lagi nikmat-nikmat yang kita salahgunakan.

Di antara keindahan iman adalah anugerah kesedaran yang Allah berikan bahawa kita begitu hina di hadapan Allah swt. Saat itulah, seorang hamba menemukan jati diri yang sebenarnya. Kita datang ke dunia ini tanpa membawa apa-apa. Dan akan kembali dengan hanya selembar kain putih dan amalan yang tidak seberapa. Masihkah lagi kita bertangguh untuk membuat amal sebelum ajal datang menjemput kita?? Fikir-fikirkanlah...

Kita pandai karana ibubapa menyekolah kita. Seperi itulah sunnatullah yang menjadi kelaziman bagi setiap orang tua. Kekayaan yang kita miliki berasal dari warisan orang tua atau karana berakah lingkungan yang diberi oleh Allah titipkan buat kita?? Kita begitu faqir di hadapan Allah swt. Seperti itulah Allah nyatakan dalam surah Fathir ayat 15 - 17 yang bermaksud :
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.”

Mungkin pernah berangan-angan dalam benak fikiran kita bahawa sudah menjadi kemestian Allah swt akan memasukkan kita ke dalam syurga. Fikiran itu mengalir lantaran merasa diri telah begitu banyak beramal. Siang malam, tidak berhenti kita menunaikan ibadah. “Pasti, pasti aku akan masuk syurga,” begitulah keyakinan diri itu muncul karana melihat amal diri sudah lebih dari cukup.

Namun, ketika perbandingan nilai dilayangkan jauh ke generasi sahabat Rasul, bahawa para generasi sehebat sahabat pun tidak pernah aman kalau mereka pasti masuk syurga. Lemahnya iman kita berbanding mereka. Mari kita renung sejenak firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat : 214 yang bermaksud :
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan pelbagai ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Menyadari bahawa azab Allah teramat pedih. Apa yang kita dapat bayangkan ketika semua manusia berkumpul di tempat luas yang tidak seorang pun ada hak istimewa kecuali dengan izin Allah. Jangankan hak istimewa, pakaian pun tidak ada. Yang jelas dalam benak manusia saat itu cuma ada dua pilihan, syurga atau neraka. Di dua tempat itulah pilihan terakhir nasib seorang bergelar manusia.

Bermulalah bayang-bayang pedihnya siksa neraka tergambar jelas. Kematian di dunia cuma sekali. Sementara, di neraka orang tidak pernah mati. Selamanya merasakan pedihnya siksa. Berterusan dan selamanya. Seperti api siksa neraka, Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan.

“Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahwa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (Bukhari dan Muslim)

Belum sampai masa lagikah kita untuk menangis di hadapan Allah mengenangkan dosa-dosa kita?? Susahkah untuk mengalirkan air mata penyesalan itu?? Atau jangan-jangan, hati kita sudah teramat keras untuk menitiskan air mata penyesalan dek maksiat yang terlalu banyak kita lakukan tanpa ada rasa bersalah sedikitpun denganNya ?? Ketahuilah kita pada hari ini lebih banyak ketawa dari menangis sedangkan kita tidak sedar bahawa maut bila-bila masa mengintai kita.....Renung-renungkanlah..siapa kita dihadapanNya.
............AYUH !!! JANGAN TANGGUH UNTUK BERAMAL...............

Thursday, December 3, 2009

::...Anda Ingin Bercinta...???....::



Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?


Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

* Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
* Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
* Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
* Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
* Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?

Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

* Kerana ALLah?
* Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
* Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
* Kerana empunya diri itu sendiri?
* Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.

Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

* Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?

Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

* Seminggu?
* Sebulan?
* Tiga, empat tahun?
* Sehingga habis belajar?
* Cinta hingga ke akhirat?

Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta


* Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
* Masa yang anda korbankan untuk sidia
* Hati dan perasaan


Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana Rasulullah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa ataupun hamba Allah yang derhaka???????????....fikir-fikirkanlah.......

....CARILAH CINTA YANG PALING HAKIKI....

Tuesday, December 1, 2009

::...Antara 9 SITI yang Patut Kita Contohi...::



1) Siti Khadijah
- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kepada baginda ketika baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah
- Anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kepada suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kadang-kadang berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah berkata...aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aishah
- Beliau isteri Rasulullah yang paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dengan Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yang sama.

4) Siti Hajar
- Isteri Nabi Ibrahim yang patuh kepada suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air untuk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam
- Wanita suci yang memang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t untuk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah
- Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya dairpada Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah
- Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah
- Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah
- Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan untuk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

......SAMA-SAMA KITA CONTOHI AKHLAK YANG MULIA........