Tuesday, May 18, 2010

::...Min Qalbie ila Qalbie...::


Aduhai hati yang selalu gundah gulana..Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu, sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini? Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, langkah syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu?

Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti. Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul ’Izzati ?? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNya? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa?

Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.

Semoga akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah, itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah Maha Melihat.

Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan, sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan dari Tuhan sekalian alam. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya yang agung.

"Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?”

Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.
Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang sabar.

Aduhai hati yang penuh kesedihan. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi pulang kepangkuan Ilahi. Dialah yang menjadikan. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.

Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara, akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah. Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan zikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar, mengikut sunnah kekasihNya.

Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah taqwa.

Duhai diri yang lemah. Kembalikanlah hatimu kepada Robb. Kerana Dialah pemilik segala yang engkau miliki. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu.

Walau fitnah mencalar maruah, dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung tawakkalnya. Pada Allah dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak.

Maka bersyukurlah..bersyukurlah..bersyukurlah kerana engkau insan terpilih.

...................SABARLAH JIKA DIUJI..................

Saturday, May 15, 2010

::...Mengapa Hati Mati ???...::


Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud :

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِىَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهٰرُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati?

Hati mati disebabkan perkara berikut :

1. Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:

فَوَيلٌ لِلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِن ذِكرِ اللَّهِ ۚ أُولٰئِكَ فى ضَلٰلٍ مُبينٍ

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."

(Surah al-Zumar ayat 22)

2. Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir). Firman Allah bermaksud:

الَّذينَ ءامَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."

(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud :

يَومَ لا يَنفَعُ مالٌ وَلا بَنونَ

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan,

إِلّا مَن أَتَى اللَّهَ بِقَلبٍ سَليمٍ

kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."

(Surah Ash-Shu’ara' ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

    1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
    2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
    3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
    4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
    5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
    6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
    7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
    8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
    9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
    10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya :

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu:

    1. Hubbud dunia (kasihkan dunia)
    2. Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
    3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu:

    1. Zuhud dengan dunia
    2. Zikrullah
    3. Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

...........JAGALAH HATI...JANGAN DIKOTORI..........





Saturday, May 8, 2010

::...Kisah Pertunanganku...::


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan Tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalanku juga dua kaki, lihatku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir Al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama...negeri barzakh, insya-Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian...negeri abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tanganku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diamku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diamku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.."Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu persatu, helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama...Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang Al-Quran.
Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam Al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang, As-Syifa' aku adalah Al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya-Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari pernikahanmu, jangan lupa ya kak!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilanganku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan As-Syifa'ku Al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafasku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."

Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu dimana mahu melangsungkan pernikahanku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya-Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsiaku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddhal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat. Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itusahaja.

.......................................

"inna lillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya...Subhanallah...Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabatku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri. Akhirnya, mereka ketahui maksud 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali maksud 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari maksud 'dia' yang mengkhitbahku. Dalam sedar tidak sedar. Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahanku, sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabb, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..." Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya " Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis...Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa.
Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

......."Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diriku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu.".......

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita...
Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia...
Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal...
oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa,
tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga...
Sama-sama kita bersedia menghadapi kematian yang tidak pasti bila tibanya. Allah Allah.


...................TAZKIYATUL MAUT.................

Sunday, May 2, 2010

::.........Apabila Kita Diuji Dengan Pilihan........::

Apa yang membezakan manusia dan malaikat adalah pada kemampuan manusia membuat pilihan. Keupayaannya untuk memilih kebaikan dan dalam masa yang sama menolak kejahatan, menjadikan manusia itu sentiasa berusaha menjadi lebih baik, dan memindahkan kebaikan itu kepada kehidupan di sekitarnya.

Semasa memilih kebaikan, dia mendapat kebaikan.

Semasa terpilih kejahatan, usahanya untuk kembali kepada kebaikan menjadikannya kembali baik malah bertambah baik.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala :

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]

Setiap hari kita membuat keputusan. Semasa mendengar azan subuh, kita membuat pilihan pertama sama ada mahu bangun atau tidur kembali. Memilih baju, memilih kasut, memilih sarapan, dan memilih jalan. Pilihan-pilihan itulah tempat Allah menilai kita. Pilihan yang baik mengundang kebaikan. Pilihan yang jahat mengundang sesal lagi mudharat.

Sahabat-sohabiah yang dirahmati Allah..

Bagaimanakah pilihan-pilihan kita setakat ini?

Pilihan semasa hidup susah?

Pilihan semasa hidup senang?

Semasa susah kita tiada banyak pilihan.

Semasa senang, kita diuji dengan banyaknya pilihan. Antara Halal dan Haram, antara Kufur dan Iman.

Merujuk kepada kisah Nabi Allah Yusuf 'alayhi al-Salaam, baginda berada di dalam ujian yang berat semasa terkurung dalam buangan di lubang telaga akibat konspirasi adik beradiknya. Bayangkan, seorang budak, terpisah daripada ibu bapanya, terbuang ke telaga buta, siang dan malam dalam kegelapan dan sendirian, apakah ada yang lebih teruk untuk dialami oleh seorang budak seperti Yusuf?

Tetapi semasa di dalam telaga, Yusuf tiada banyak pilihan. Bersabar adalah satu-satunya cara untuk baginda bertahan. Baginda terpaksa bertahan. Terpaksa bersabar. Itu sahaja pilihan yang ada.

Akan tetapi, ujian yang menjadikan Yusuf seorang insan pilihan Allah yang begitu hebat adalah semasa baginda di istana Mesir.

Di dalam telaga, Yusuf diuji.

Di dalam istana, Yusuf masih juga diuji.

Hidup adalah ujian.

Firman Allah:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu), Sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]

Benar!

Itulah saat paling genting buat Yusuf.

Diuji dengan pilihan.

Wanita bangsawan yang selama ini menjadi ibu angkatnya, menyerahkan diri untuk dijamah dengan zina. Sedangkan Yusuf ada banyak peluang. Beliau adalah anak asing di bumi Mesir. Tiada ibu bapa, tiada adik beradik dan saudara mara, tiada muka yang bakal diconteng arang!

Saat itu, Yusuf diuji, menerima zina yang enak untuk sebuah kecenderungan nafsu, atau menolaknya dengan kuasa Iman.

“Datanglah kepadaku” kata wanita yang digelar Zulaikha itu.

“Aku berlindung dengan Allah!” itulah jawapan Yusuf.

Engkau selama ini adalah ibu angkatku, engkau memberiku bumbung untuk berteduh, engkau memberiku lantai tempat bersantai, engkau memberiku makan dan minum, engkau tuanku tetapi ALLAH adalah TUHANKU!

Sesungguhnya Dia telah melindungiku selama ini, dan tidak akan berjaya orang-orang yang zalim!

Itulah penegasan Yusuf. Baginda berjaya dalam ujian pilihannya. Memilih untuk menolak zina, semata-mata kerana IMAN.

Ramai di kalangan kita yang bertahan dalam ujian kesusahan.

Tetapi bagaimana dengan ujian kesenangan?

Hari ini, anak-anak muda di Universiti boleh mendapat wang secara mudah melalui pilihan zina. Menyerah diri menjadi pelayan seks kepada manusia-manusia keji yang berwang, membolehkan mereka mengatasi masalah kekurangan wang pinjaman, memakai telefon bimbit mewah, menukar motorsikal kepada kereta dan memakai pakaian berjenama, hanya dengan berkata YA kepada peluang yang terbentang di depan mata. Buat kerja paling sedap, dapat hasil paling mantap!

Daripada Ibn Masoud radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya di antara perkara yang diketahui oleh sekalian manusia daripada kalam nukilan Kenabian ialah: Jika kamu sudah tiada rasa malu, maka buat sahajalah apa yang kamu suka! [Hadith riwayat al-Bukhari]

Malu yang datang dari Iman.

Namun, apakah caranya untuk anak-anak muda kita memiliki keyakinan seperti Yusuf? Keyakinan bahawa Allah tidak akan sekali-kali memberi kejayaan hidup kepada manusia yang zalim. Keyakinan untuk berkata TIDAK kepada ZINA!

Jauh dari keluarga, seperti jauhnya Yusuf dari bumi Palestin, bagaimanakah anak perantau di Menara Gading boleh menolak zina yang pada hari ini, zina itu lebih mudah berbanding jalan yang halal?

Tiadalah jawapan lain, kecuali kembali kepada IMAN.

Iman yang membimbing kita membuat pilihan dalam kehidupan.

Sesungguhnya itulah hikmah mengapa kita diberi peringatan tentang TAQWA, saban minggu di Mimbar Jumaat ini.

TAQWA seperti yang dijelaskan dalam perbualan Ubai bin Kaab bersama Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma.

Sesungguhnya hidup kita ini adalah sebuah perjalanan. Di kiri dan kanannya ada banyak duri, banyak cabaran. Ada duri yang mengundang luka, yang berkehendakkan kita supaya berada di tahap sedar yang tinggi, serta sentiasa mampu mengawal diri.

Sedarlah!

Kawallah!

Hidup ini menuntut kita membuat pilihan.

Pilihlah jalan yang memberi bahagia Dunia dan Akhirat.

Jauhilah pilihan yang buta, mencari sedap yang seketika, tetapi derita selama-lamanya.

Jangan banyak memberi alasan.

Semakin banyak memberi alasan, semakin hilanglah daripada hidupmu rahmat dan bantuan Tuhan.

......................Renung-renungkanlah........................

Thursday, April 8, 2010

::...Ayuh...Sedarlah Wahai Jiwa Yang Mati...::


..:: Sedikit peringatan untuk semua..sekadar ingin berkongsi bagi jiwa yang mati..bacalah dengan penuh penghayatan semoga kita dapat keinsafan..lemahnya kami Ya Allah tanpa bimbingan dari-Mu ::..

BANGKAI MALAM DAN HIMAR SIANG

Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku :

إِنَّ اللهَ يَبْغُضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ صَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ جِيْفَةٍ بِاللَّيْلِ حِمَارٍ بِالنَّهَارِ عَالِمٍ بِأَمْرِ الدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ الْآخِرَةِ

“ Sesungguhnya Allah benci setiap manusia yang kasar (suara dan tingkah laku), kuat makan, bising semasa di pasar, tidak bangun solat malam seperti bangkai, berkerja keras pada waktu siang seperti himar, amat mengetahui tentang ilmu dunia dan jahil tentang akhirat.”
Hadis riwayat Ibnu Hibban (72), Baihaqi (Sunan) dan Asbahani. Syeikh Syuaib berkata : Sanad hadis ini kuat.

Imam Munziri meletakkan hadis di bawah tajuk “MEMBERI PERINGATAN BURUK KEPADA MANUSIA YANG TIDUR SAMPAI SUBUH DAN TIDAK BANGUN BERQIAMULLAIL”

Dr Yusuf Qardhawi menerangkan makna “tidak bangun tahajjud seumpama bangkai”:
“ Manusia ini diumpamakan bangkai pada waktu malam kerana tidur adalah salah satu bentuk mati.”

SPECIAL TIME FOR HIS SLAVES

Oleh itu Allah benci manusia yang tidur pada waktu malam tanpa bangun untuk bertahajjud dan bermunajat kepadanya. Sedangkan Allah khususkan di penghujung malam untuk hamba-hambanya mengadu dan bermunajat kepadanya. Rasulullah saw bersabda :

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى سماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر قيقول : من يدعوني فأستجيب له؟ ومن يسألني فأعطيه؟ ومن
يستغفرني فأغفر له

“ Allah swt turun pada setiap malam ke langit dunia ketika sepertiga malam yang terakhir. Tuhan berkata ...“ Siapa yang berdoa akanku perkenankan doanya. Siapa yang meminta kepadaku akan ku berikannya. Sesiapa yang beristighfar maka akanku ampunkannya”`
-Hadis sahih Bukhari dan Muslim-

Bayangkan sahabat2 sekiranya seorang penjenayah berat akan diampunkan sekiranya dia merayu kepada Raja pada pukul 3 pagi pasti dia akan pergi waktu tersebut dan menunggu di pintu istana seawal mungkin. Bayangkan sekiranya Raja menawarkan akan memberi apa sahaja permintaan kita sekiranya kita menghadapnya di awal pagi pasti kita akan menunggu di pintu istana sejak malam lagi. Namun raja segala raja telah memberi tawaran kepada kita pada waktu sebelum subuh tapi kenapa kita masih tidur lagi. Itu kerana kita dikencing oleh syaitan dan diri kita berlumuran dengan dosa.

Kalau kita rasa kita itu sudah baik dan bersih dari dosa (ini adalah penyakit hati) maka anggaplah masa ini masa seorang kekasih bertemu dengan kekasihnya. Adakah seorang lelaki akan disayangi oleh kekasihnya sekiranya selalu terlepas dalam temu janjinya. Kalau setiap hari begini pastilah cinta itu sudah berkubur dan hubungannya akan diputuskan.

KENCING SYAITAN

Apabila diberitahu kepada Nabi s.a.w tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajjud dan bangun ketika waktu sudah subuh. Nabi s.a.w bersabda :

ذاك الرجل بال الشيطان في أذنيه

“ Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya.”
-Hadis sahih Bukhari dan Muslim-

Ini yang bangun waktu subuh. Kalau bangun selepas waktu subuh, apa agaknya najis syaitannya yang masuk?

BELENGGU DOSA

Fudhail bin Iyad berkata :

إذا لم تقدر على قيام الليل وصيام النهار فاعلم أنك مكبول كبلتك معصيتك

Apabila kamu tidak mampu untuk bangun tahajjud waktu malam dan tidak mampu puasa sunat pada waktu siang maka ketahuilah kamu sudah dibelenggu oleh maksiatmu.”

Oleh itu kita perlu bertaubat sentiasa dan menghindari dari maksiat. Lidah yang penuh maksiat tidak layak untuk bermunajat pada waktu malam. Mata yang penuh maksiat tidak layak untuk berjaga untuk tahajud dan menangis. Kaki dan tangan penuh maksiat tidak mampu untuk digerakkan pada waktu malam untuk bangun bertahajud. Yang penting hati sentiasa ingat benda yang haram tidak layak untuk berjaga dengan segarnya pada waktu malam untuk tahajud.

PASANGAN YANG BERTHAJJUD

Selain dari itu kita hendaklah mencari teman yang baik atau pasangan yang baik agar dapat mengejutkan kita waktu malam. Nabi s.a.w bersabda :

إذا أيقظ الرجل أهله من الليل فصليا ركعتين جميعا كتبا في الذاكرين والذاكرين

“ Apabila seorang lelaki bangun dan mengejut isterinya pada waktu malam. Lalu mereka solat dua rakaat bersama-sama, kedua2 mereka ditulis dikalangan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.”
-Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie, Hakim juga riwayat dengan makna hadis yang sama dengan sanad di tashihkan oleh Imam Zahabi-

Oleh itu carilah teman serumah yang mampu mengejutkan kita bertahajjud. Terutamanya orang yang tidak mampu tahajjud dan ingin tahajjud. Begitu juga hendaklah cari pasangan yang boleh membantu kita bertahajjud. Namun kita kena lihat kepad keadaan teman serumah tadi. Kalau subuh pun masih lambat atau luar waktu kita kena usahakan subuh dahulu selepas itu barulah tahajjud.

SUBUH PUN MASIH LEWAT

Apabila menyebut pasal subuh awal, amat dukacita kerana masih terdapat ramai yang kelewatan subuh. Lebih sedih kerana terjadi pada ramai mahasiswa agama atau orang yang menulis dan bercakap pasal agama dan menganjurkan program agama. Ini adalah termasuk dalam perumpamaan Nabi s.a.w berkenaan dengan lilin. Menyuruh manusia lain buat baik namun melupai diri.

TIPU DAYA SYAITAN

Janganlah kita bagi pelbagai alasan sibuk buat program, mesyuarat , mengaji, mengajar, study, berdakwah dan lain-lain untuk tidak tahajjud dan bangun lewat. Nabi adalah sebaik manusia sebagai pemimpin, pendakwah, Pelajar (mengambil wahyu dari jibril), suami (9 isteri)tetapi Nabi saw tidak pernah meninggalkan tahajud. Aisyah berkata :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقوم من الليل حتى تتفطر قدماه

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bangun bertahajjud pada waktu malam sehingga pecah-pecah kakinya.” -Hadis riwayat Bukhari dan Muslim-

Para Khalifah dan Gabenor dikalangan sahabat Nabi s.a.w semuanya membentangkan tahajjud sehingga Umar berkata : “Kalau aku tidur waktu malam akan sia-sialah hak Allah.” Salahuddin al-Ayyubi juga amat mementingkan tahajjudnya kepada tenteranya sedangkan kita tahu tidak ada kerja lebih teruk dari peperangan. Bila mana beliau melihat ada khemah tentera tidak bertahajjud, beliau berkata:

فإن أوتينا فمن قبل هولاء نؤتى

“Sekiranya kita didatangi musuh maka musuh akan datang dari pihak mereka (kerana kelemahan mereka) . “ atau pun “ Sekiranya kita dikalahkan maka sebab merekalah kita dikalahkan.

Adakah tanggungjawab kita lebih besar dari Nabi s.a.w sehingga mana kita jadikan kerja dan tanggungjawab sebagai alasan untuk tidak bertahajjud? Adakah kita tidak berdosa seperti Nabi? Kita lebih patut bangun menangis dan bertahajud kerana kita insan yang banyak dosa. Ini semua adalah talbis iblis (tipu daya syaitan) kepada pendakwah dan perkerja2 Islam.

MAHAR BIDADARI

Seorang salafus soleh bermimpi berjumpa dengan bidadari dalam mimpinya. Bidadari berkata “ Pinanglah aku dan berilah maharnya kepada tuhan.” Beliau bertanya “Apa maharnya?” Bidadari menjawab “ Lama tahajjud.”

Suatu hari Abu Sulaiman ad-Darani tidur pada waktu malam. Dalam tidurnya, beliau melihat bidadari mengejutnya dan berkata “ Adakah engkau tidur (tidak tahajjud) hai Abu Sulaiman sedangkan aku menantimu di sebalim tirai sejak 500 tahun.”

KESIMPULAN

TAHAJJUD BUKAN SEGALANYA TETAPI KALAU TIDAK MAMPU TAHAJJUD MAKA ADA YANG TIDAK KENA PADA HUBUNGAN HAMBA DENGA TUHAN SEMESTA. KADANG2 KITA RASA KITA DAH TAK BUAT DOSA TETAPI TAK MAMPU UNTUK BANGUN. INI SAMADA KITA PERLU MENGAJI LAGI UNTUK MENGETAHUI DOSA YANG ADA PELBAGAI BENTUK ATAU PUN SEBAB HATI KITA BERASA SUDAH SEMPURNA DAN INILAH YANG PALING BAHAYA. ORANG YANG RASA SELAMAT DARI NERAKA ADALAH ORANG YANG RUGI SEPERTI DALAM SURAH AL-A’RAF AYAT 99.
“OH TUHAN TERIMA LAH TAUBAT KAMI, JAUHKAN KAMI DARI DOSA DAN LAYAKKAN KAMI UNTUK BERMUNAJATMU DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR DENGAN RASA IKHLAS.”


Rujukan: Al-Muntaqa oleh Qardawi, Lataiful Ma’arif oleh Ibnu Rajab, Sahih Bukhari dan Targhib wat Tarhib oleh Munziri.


........................Allaahumaghfirli Ya Ghafuur.......................

Tuesday, February 23, 2010

::...Sakaratul Maut...::



Sakaaaaaaaaaratul maut !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Sakaratul maut.. maut.. maut.. maut.. maut..!!!!!!!!!!!!!!!!

Di hari itu seorang OB rebah di kamar mandi
Diserang lemah jantungnya
Yang menggugat nyawanya
Tengah malam
Pulang dari sebuah hotel di Kuala Lumpur
Bersama puan mudanya
Bersama mulut dan lidahnya
Yang dinajisi alkohol
Dan banglonya di atas bukit

Tuan muda menelifon doktor peribadi OB
Dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya
Dan sebatang jarum injeksen
Dibenamkan ke urat OB

Dan berombak-ombaklah nafasnya
Bergelombang dadanya
Dilambung nazak
Hempas-menghempas

Tujuh hari tujuh malam
OB di ambang maut
Golek gelentang di pembaringan
Dan suluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya

Bangloku, mercedesku, wangku dalam bank
Saham-sahamku di syarikat-syarikat
Rumah-rumah sewaku
Pengarah-pengarahku
Kuda-kudaku di padang gombak
Padang golfku
Anak-anakku di luar negeri
Dan isteri mudaku

Nazak hempas-menghempas
Pulas-memulas
Dan pintal-memintal

Makan? ........Geleng kepala
Minum? .........Geleng kepala
Arak? .........Geleng kepala
Isteri muda? ...........Geleng kepala
Mau ke padang lumba kuda? .........Geleng kepala
Mau pergi ke Genting Highland? .......Geleng kepala
Melancong ke Eropah? ........Geleng kepala
Ke Mekah naik haji? ...........Geleng kepala

Apa yang kau mahu?!

Oh Tuhan..
Panjangkan umurku..

Panjang umur?
Berapa tahun engkau mahu?
100 tahun? Cukup?
Ya 100 tahun

63 tahun tidak cukup?
Tak puas hidup?
Tidak kenyang makan maksiat?
Belum bosan mengumpul dosa?
Kau mahu panjang umur lagi?

Sedetik lagi sakaratul maut datang
Sedetik lagi Izrail datang
Sedetik lagi malaikat maut datang
Kau diambang sakaaaratul maut !!!!!!!!
Kau nazak sekarang wahai OB

Aku makin tegang
Dan makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjang
Dan merayap kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad

Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah
Keluhan dan rintihan..

Panas!!!!!!! !!
Dahaga!!!!!! !
Haus!!!!
Panassss!!!!


Air 7 lautan hendak kuteguk
Sebesar 7 dunia kelaparan merobek usus-usus
Syaitan-syaitan datang berbondong-bondong
Menginjak-injak aku
Menggudah aku
Mau memurtadkan aku

Nenekku datang.. nenek!

Kau dahaga cucu?
Kau lapar cucu?
Nak air?
Ini bijana penuh air madu
Kalau cucu mau masuk syurga
Minum air ini

Ibu!!!!!!!!!

Ibuku menggoyangkan buah susunya
Ini ibumu
Air susu ini membesarkan kau Nak
Buangkan Islam
Matilah dalam agama yahudi

Ayah!!!!!!!!!!!!
Kau datang ayah?

Matilah dalam agama yahudi wahai anakku
Matilah dalam agama kristian
Itulah agama yang membawa kau masuk ke syurga katanya

Ucaplah!
Laaaailaahaillallah..............
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaak!

Ucaplah!
Laaailaaahaillallaaah!
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaak!

Rumahku
Mercedesku
Wangku dalam bank
Saham-sahamku
Kuda-kudaku
Kolam mandiku
Padang golfku
Isteri-isteriku
Dan duniaku!

Sakaratul maut pun datang
Pak lebai dari rumah setinggan
Dipanggil oleh pemandu dengan mercedes
Dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin
Tapi lidahku telah kelu
Dan sakaratul maut kian detik tiba

Manusia-manusia berjubah hitam datang
Mari ikut kami!

Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa payung hijau
Katanya..
Mari ikut kami!

Cahaya putih datang
Datang sinar kuning
Datang kiratan hitam
Cahaya merah datang

Apa ini?!
Apa ini?!

Aku sakaaaaaratul mauuuuuuuuuuuuuuuuu uuuuut!

Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Dan kini seluruh jasadku diseliputi sejuk
Dan dingin singgah ditengkorokkan

Kemudian datanglah malaikatul maut di hujung kepalaku

Hai!!! Jiwa yang keji!
Keluarlah kepada kemurkaan Allah!

Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
lalu..

Inna lillahi wainna ilaihi rajiuuuuunn

Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang
Dan menghemburlah bau bangkai sebusuk-busuknya

Tuliskan! Suratannya dalam sektor pada bumi yang terbawah

Roh aku dicampakkan
Dikembalikan ke dalam jasad
Lalu datang dua orang malaikat
Dan didudukinya aku

Siapa Tuhanmu!
A...A...A...A...aku tidak tahu!!!!!!!!

Apa engkau mahu?!
A....A......A.....A....aku tidak tahu!!!!!!!!

Siapa lelaki ini yang diutus kepadamu?!
Ah ah ah aku tidak tahu!!!!!!!!

Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya
Buruk pakaiannya
Busuk baunya

Siapa engkau?

Akulah amalanmu yang kejiiii !!!!!!!!!!!!

Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur
Menunggu..
Menunggu doa anak yang soleh

Mana doa anakku seorang Peguam?
Mana doa anakku seorang Doktor?
Mana doa anakku seorang Jurutera?
Mana doa anakku seorang Arkitek?
Manaaaa doa anakku seorang Profesor?

Manaaaa?!
Manaaaaaaaaaaaa?!
Manaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa? !!!!

...AYUH..SAMA-SAMA KITA TINGKATKAN AMAL SEBELUM AJAL MENJEMPUT... INSAF ....

Sunday, December 27, 2009

::..Muhasabah Sejenak...::


Ilahana ampunkanlah segala dosa kami
Wahai Tuhan kami maafkanlah kejahilan hamba-hambaMu

Kami sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Kami sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar kami milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kami ingat petang kami alpa
Begitulah silih berganti

Ya Allah Kau pimpinlah diri kami
Yang mendamba cintaMu
Kami lemah kami jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Kami sering berjanji depanMu
Sering jua kami memungkiri
Kami pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah kami kepadaMu
Seribu langkah Kau pada kami

Ya Robb diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula kami sanggup ke neraka Mu
Kami takut kepadaMu
Kami harap jua padaMu
Moga kami kan selamat dunia akhirat
Seperti Rasul dan Sohabat


::...Tatkala mata masih terbuka..............

Setiap kali bangun dari tidur dan membuka mata, yang terucap adalah kalimat syukur bahawa Allah masih mengizinkan diri ini kembali melihat fajar. Merasai hembusan angin bayu pagi yang menerobos celah jendela dan menjumpai semua yang semalam terlihat sebelum mata terpejam masih seperti sedia kala, tidak ada yang berubah.

Kemudian melangkahlah dengan iringan doa di gerbang mungil menuju arena perjuangan kehidupan, dengan tuntutanNya lah diri ini tidak melangkah ke jalan yang salah, tidak menjamah yang bukan hak, tidak melihat perkara yang dilarang, tidak memamah yang tidak halal,tidak mendengar yang batil, dan tidak banyak melakukan perkara sia-sia. Kerana setiap waktu yang terlewat pasti akan ditagih tanggungjawabnya di akhirat kelak. Lantaran semua jalan yang dilalui akan diminta kesaksiannya atas diri ini dan sebab seluruh indera ini akan diminta bicara tentang apa-apa yang pernah kita lakukan.

Hari ini masih ada perkara lalai terbuat. Masih juga lengah sehingga khilaf tercipta. Segunung peringatan pernah didengar, mulut ini masih terselit berucap dusta, saringan telinga ini tetap tidak mampu membendung suara-suara melena lalaikan dan masih saja ada perbuatan yang salah, walaupun itu dalam bingkai alpa. Padahal semua itu di setiap terminal ruhiyah. Sedikitnya lima kali sehari lidah ini berucap, tangan ini termenadah minta doa dan mata ini menitikkan butir bening, seraya memohon perlindungan dari Allah dijauhkan dari salah dan dosa. Tetapi, masih juga langkah ini menuju arah yang batil dalam keadaan sedar ataupun tidak. Jahilnya kami Ya Ilahi.

Setiap hari menangis, setiap hari meminta keampunan, setiap hari mencipta dosa, esok sibuk bersujud, meluluhkan air mata, menyusun kalimah doa, mengayam pinta semoga Allah menghapuskan segala dosa yang telah kita cipta, bahkan kadang-kadang lupa. Padahal, hanya sedetik sahaja kemudian diri ini tidak lagi sempat memohon ampunan. Lupakah bahawa waktu sangat cepat berlalu. Lupakah pula bahawa menyesal di akhirat hanyalah kesiaan yang nyata?

Bagaimana jika hari esok tidak akan datang, padahal baru saja seharian ini berenang di lautan dosa, padahal belum sempat menghapus noda hari ini, kelmarin, seminggu yang lalu, setahun lalu dan bertahun-tahun yang lalu. Bagaimana jika Allah tidak berkenan membukakan mata diri ini lagi setelah sepanjang malam terlelap? Bagaimana jika perjumpaan dan canda riang bersama keluarga semalam adalah yang terakhir kalinya, ketika esok harinya ruh ini melihat seluruh keluarga menangisi jasad ini yang terbujur kaku berkafan putih.

Bagaimana jika matahari esok terbit dari barat, tidak seperti biasanya dari timur? Padahal hari ini lupa menyebut nama-Nya. Padahal di hari ini, belum sempat mengunjungi satu persatu keluarga, kerabat, sahabat, tetangga dan orang-orang yang pernah tersakiti oleh lidah dan tindakan kita. Sudah terlalu lama tidak mencium kaki orang tua mencari keredhaannya, walau tidak terhitung salah diri. Belum lagi sempat menderma, setelah derma kecil beberapa tahun lalu yang sering kita banggakan. Allaahummaghfirlana Ya Robb.

Dan jika memang esok tidak pernah datang. Sungguh celakalah diri ini. Benar-benar celaka, apabila belum sempat mencuci dosa sepanjang hidup, apabila belum mendengar ungkapan maaf dari orang-orang yang pernah terzalimi, apabila belum menyisihkan harta yang menjadi hak orang lain, apabila belum sempat meminta ampun atas segala salah dan khilaf kita yang tercipta.

Maka di saat pagi Allah masih memperkenalkan diri menikmati fajarMu Ya Ilahi, mulalah setiap pagi hari dengan kalimat

"Alhamdulillah"

"Alhamdulillah"

"Alhamdulillah"

Semoga kita semua beroleh keampunan dari ilahi atas segala kesilapan dan kejahilan kita sepanjang hidup bernama manusia. Amin Ya Arhamarraahimin.

.......................IRHAMNA YA ROBB.........................