Saturday, November 28, 2009

::...Lazimi 7 Sunnah Rasulullah...::




"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama : Tahajjud...kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua : Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman dan penghayatan.

Ketiga : Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemanapun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muazzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat : Jaga solat Dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima : Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam : Jaga wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhuk. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhuk senantiasa akan merasa selalu solat walau ia tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh : Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Semoga kita dapat amalkan sunnah Rasulullah ini dengan istiqamah dan penghayatan. Peluang untuk menjadi hambanya yang benar-benar bertaqwa masih terbuka luas selagi kita masih bernyawa.Ayuh saudara se'aqidahku...jom sama-sama kita merebut ijazah TAQWA.

...BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR TAQWA...

Friday, November 27, 2009

::...Ujian Itu Rahsia Allah...::



Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

....UJIAN ADALAH TARBIAH ALLAH KEPADA HAMBANYA....

Wednesday, November 25, 2009

::...Jom Top Up Amal...::




“Maaf,baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan”..

Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit.Selalunya,apabila kita ingin membuat panggilan,lebih-lebih lagi kepada yang tersayang,apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon,kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekalan ‘topup’.Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh.Tetapi,pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?

Cuba kita bayangkan.Satu hari,satu suara berkata kepada kita..“Maaf,pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga”.Pernah tak kita berfikir seperti itu?Bayangkan di hari kebangkitan nanti,perkataan seperti itu diucapkan kepada kita.Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu?Apakah kita masih boleh men ‘top-up’ pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung.Bayangkan rasa kecewa yang menyelebungi diri kita,melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia,kecewa dalam interview,kecewa dalam kerja,dalam segalanya.

Kita selalu menangis apabila kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita.Tetapi,pernah x sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita.Pernah x kita mendengar kisah-kisah para alim ulama’,tabi’ tabi'in dahulu,yang selalu menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit.Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata.Tetapi,apabila kekasih kita meninggalkan kita,sampai bengkak mata kita menangis.Betapa lemahnya iman kita..

Ingatkah kita akan kisah Syadad bin Aus? Kenal siapa Syadad bin Aus? Kata Abu Darda’ ..“Setiap umat ada orang faqih,dan antara orang faqih umat ini ialah Syadad bin Aus”.Kembali kepada kisah Syadad bin Aus.Satu malam,Syadad bin Aus hendak tidur,tetapi dia tidak dapat tidur dan hatinya gelisah.Maka dia berkata “Ya Allah,nerakaMu menyebabkan aku berjaga malam,dan hilangkanlah daripadaku rasa mengantuk ini”.Lalu,beliau bangkit dan solat sehingga Subuh.Kisah bagaimana seorang Faqih yang takutkan neraka sehingga tidak dapat tidak tidur malam..Adakah sekuat itu iman kita? Sahabat-sahabat kita di Palestin berjuang mengangkat senjata dan bermati-matian menentang golongan kuffar,dan kita? Hendak mengangkat mata dan selimut untuk pergi solat Subuh berjemaah pun kita tidak mampu,inikan pula hendak pergi berperang.

Mari kita sama-sama muhasabah diri kita..

Suka untuk saya bercerita kisah seorang sahabat Nabi bernama Amir bin Said.Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar al-Khattab.Ketika itu,beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga.Saidina Umar hendak melantik seseorang untuk menjadi Gabenor di negara Kufah.Dengan berasaskan takwa,Saidina Umar menawarkan jawatan tersebut kepada Amir bin Said,tetapi beliau menolak kerana amanah tersebut terlalu berat bagi beliau.Saidina Umar berkata kembali “Kenapa kamu memilih aku menjadi khalifah sedangkan kamu tidak di belakang aku?”.Akhirnya,Amir bin Said menerima jawatan tersebut dan Saidina Umar memberikan kepada beliau sejumlah wang untuk beliau bertugas sebagai Gabenor di Kufah.Said bin Amir sebaliknya tidak menggunakan wang tersebut untuk dirinya,bahkan bersedekah kepada fakir miskin.Ketika menjadi gabenor di Kufah,pernah penduduk Kufah membuat aduan tentang kepimpinan beliau.

Penduduk Kufah mengadu tentang 3 perkara : ..pertama(1),Said bin Umar tidak keluar dua kali dalam masa sebulan..Kedua(2),beliau lambat keluar untuk bertugas pada waktu pagi dan..ketiga(3),beliau tidak keluar pada waktu malam.Dengan tawaddhu’ Said bin Amir menjawab aduan-aduan tersebut.Beliau tidak keluar dua kali sebulan kerana beliau hanya mempunyai pakaian sehelai sepinggang.Dua hari itu digunakan untuk membasuh dan mengeringkan pakaian beliau.Beliau keluar lambat pada waktu pagi kerana beliau tidak mempunyai khadam atau hamba.Beliau dan isterinya melakukan sendiri semua kerja-kerja rumah.Beliau tidak keluar pada waktu malam kerana beliau memperuntukkan malam beliau hanya untuk beribadat kepada Allah.

Itulah satu contoh kepimpinan dan tauladan yang sepatutnya kita contohi.Walaupun bergelar gabenor,beliau tidak bermegah-megah dengan jawatan itu,bahkan semakin tawaddu’ dan rendah diri.Hendaklah kita memperuntukkan malam kita untuk beribadat kepada Rabb al-Jalil dan tidak mengisi sepenuhnya malam kita untuk melunaskan permintaan manusia kerana untuk memenuhi kehendak semua orang adalah sesuatu benda yang tak mungkin tercapai.Ubatilah hati kita selagi peluang bertaubat masih terbentang dan janganlah menunggu sehingga terbentangnya maksiat-maksiat kita di hari akhirat,baru kita hendak menyesal kerana seperti pepatah melayu “sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna” .

Berkata ulama’terdapat 9 perkara yang boleh mengislah(ubah)kan hati :

1.Membaca al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
2.Mengosongkan perut dengan mengurangkan makan
3.Bangun malam dengan beribadat
4.Bermunajat pada waktu sahur
5.Berdamping dengan orang Soleh
6.Diam daripada perkara-perkara tidak bermanfaat
7.Uzlah daripada orang jahil
8.Jangan selalu bersama mereka(orang jahil)
9.Makan benda yang halal

Konklusinya,marilah kita sama-sama merenung dan menangisi dosa-dosa kita lakukan.Tidak rugi untuk menitiskan air mata kita kerana takutkan Allah kerana titis-titis air mata kita dan amalan-amalan baik kita umpama ‘top-up’ yang akan mengisi ‘kredit’ untuk kita pada hari perhitungan nanti,insyaALLAH..


.....BERTAUBATLAH SEBELUM PINTU TAUBAT DI TUTUP......

Saturday, November 21, 2009

::...Bengkokkah Wanita..??....::




"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"

"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan tergangguh."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok*? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."

"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. "

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."

"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim."

"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "

*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

............DIDIKLAH WANITA DENGAN PENUH KEIMANAN DAN KELEMBUTAN..:)............

Wednesday, November 18, 2009

::...Ya Ummi...::



.....IBU.....Aku Akan Kembali Padamu....

Aku pasti akan kembali padamu Ibu لسوف أعود يا أمي
Akan kukucup dahimu yang suci الزاكي أقبّل رأسك
Akan kutumpahkan semua rinduku padamu أبتّك كل أشواقي
Dan kuhirup harum tangan (kanan)mu وأرشف عطر يمناك
Kubasahi (pipiku) dengan sejuk embun telapak kakimu أمرغ في ثرى قدميك
Pipiku ketika aku bertemu denganmu خدي حين ألقاك
Akan kubasahi debu dengan air mataku أروي الترب من دمعي
(sebagai ungkapan rasa) gembira karena engkau masih hidup سرورا في محياك


(Sudah tak terhitung) berapa malam yang kau lewati tanpa tidur فكم أسهرت من ليل
(Demi aku) agar aku bisa tidur lelap لأرقد ملأ أجفاني
(Tak terhitung pula) berapa kali kau menahan haus وكم أظمأت من جوف
(Demi) mengubati rasa hausku dengan kasih sayangmu لترويني بتحناني
Di waktu aku sakit, aku tidak lupa ويوم مرضت لا أنسى
Air matamu mengalir deras bagai hujan دموعا منك كالمطر
Dan kedua matamu yang terus-menerus terjaga وعينا منك ساهرة
Karena engkau begitu mengkhuawatirkan keadaanku تخاف علي من خطر
Dan pada hari kita berpisah,kala fajar menyingsing ويوم وداعنا فجرا
Oh..sungguh betapa kerasnya fajar kala itu وما أقساه من فجر
(Waktu itu) Kata-kata pun tak mampu mengungkapkan يحار القول في وصف الذي
(Sakitnya) perasaanmu ketika aku tinggalkan لاقيت من هجري
Dan kau mengucapkan perkataan وقلت مقولة لا زلــت
Yang selalu akan kuingat sepanjang hidupku مدّكرا بها دهري
"Kau tidak akan pernah menemukan hati محال أن ترى صدرا
Yang lebih menyayangimu dari hatiku" أحن عليك من صدري
"Kau tidak akan pernah menemukan hati محال أن ترى صدرا
Yang lebih menyayangimu dari hatiku" أحن عليك من صدري


Berbakti kepadamu…adalah cita-cita hidupku ببرك يا منى عمري
Tuhan Pencipta semesta memerintahkan aku (agar berbuat demikian) إله الكون أوصاني
Kerelaanmu adalah kunci keberhasilanku رضاؤك سر توفيقي
Dan cintamu adalah rahsia imanku وحبك ومض إيماني
Keikhlasan doamu untukku.. وصدق دعائك انفرجت
Menghapus semua kesusahan dan kesedihanku به كربي وأحزاني
Cintamu .. ودادك لا يشاطرني
Tidak ada seorangpun yang dapat menyamainya به أحد من البشر
Engkaulah detak jantungku فأنت النبض في قلبي
Engkaulah cahaya di mataku وأنت النور في بصري
Dan engkaulah nada di bibirku وأنت اللحن في شفتي
Kesusahanku sirna ketika aku memandang wajahmu بوجهك ينجلي كدري
Kepadamu wahai ibu…aku akan kembali إليك أعود يا أمي
Esok aku akan beristirahat dari perjalananku غدا أرتاح من سفري
Hidupku yang ke dua akan bermula ويبدأ عهدي الثاني
Dan ranting-rantingpun akan menampakkan bunganyaويزهو الغصن بالزهر

....................My Mama Hafitah.....I Love You.......................

Saturday, November 14, 2009

::...Mati Satu Peringatan...::




...Untuk Renungan Bersama...

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Solawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah
luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak
bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.

....................ZIKRULMAUT....................